Bab 8 | Obsesi Pewaris Karya Amyra Aimi

Updated: 3 hours ago

Bab 8 - Obsesi Pewaris Karya Amyra Aimi
QISTINA cuba mengalihkan perhatiannya ke arah halaman yang dihiasi bunga mawar.
Melalui gerbang lengkung di sebelah mereka, dia dapat melihat halaman batu kecil yang terbuka. Merah menyala. Hampir hitam dalam cahaya pagi.
Mawar itu tumbuh meliar di situ berbanding di pintu gerbang. Dengan kelopak yang kelihatan seperti telah direndam dalam darah dan dibiarkan kering. Mereka cantik seperti mana pisau itu cantik.
"Kau suka dengan mawar tu, kan."
Suara lelaki itu datang dari sebelahnya. Itu bukannya satu soalan tapi, lebih kepada pernyataan. Tidak mengejek atau menggoda. Hanya memerhati.
Dan Qistina merasakan tubuhnya bertindak balas sebelum fikirannya dapat menghentikannya.
Qistina mengenali suara itu. Dia sudah terbiasa mendengarnya dalam kuliah, di koridor, dalam cara Raffa bercakap dengan profesor, pelajar lain dan semua orang. Suara yang membuatkan semua orang akan mendengarnya, tanpa sebarang sebab.
Tetapi pada jarak ini, sesuatu yang lain bangkit dalam dirinya.
Ia membuatkannya sedar akan kehadiran lelaki itu. Secara fizikal. Dia sama sekali tidak menginginkannya.
Qistina mengerling.
Raffa cukup tinggi sehingga dia terpaksa mendongak, sedar yang tingginya itu hanya separas bahu lelaki itu. Sehingga semua orang lain di koridor itu tiba-tiba kelihatan lebih kecil, dan Raffa berjaya memenuhi ruang tanpa perlu mencuba.
Bahu yang tegap, padu di dada, tubuh seseorang yang telah berlatih bertahun-tahun dalam tinju, seni mempertahankan diri, dan ketahanan. Lelaki itu bergerak seperti pejuang dan berdiri seperti senjata.
Walaupun berdiri diam.
Qistina meliriknya sekali, hanya menangkap sisi wajahnya, sebelum menundukkan pandangannya semula.
Garis rahang yang tajam. Rambut hitam, tebal, jatuh di dahi dan selalunya dia akan menyisirnya dengan jari-jemarinya yang panjang itu banyak kali. Raffa suka begitu apabila dia berfikir.
Qistina tahu itu. Dia pernah melihat Raffa begitu setiap kali di dalam dewan kuliah, ratusan kali. Sejak di semester pertama. Dan dia benci kerana dia tahu.
Sepasang mata lelaki itu adalah bahagian yang paling Qistina tidak faham, hazel. Gelap dalam cahaya malap. Hampir keemasan apabila matahari mengenainya. Tetapi bukan warna yang membuatkannya berbahaya.
Qistina perasan segala-galanya. Setiap pembohongan dan getaran itu. Apabila Raffa Fathurrahman memandang kau, kau merasainya, bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai fakta.
Dia sedang melihat dan mengkatalog kau.
Sepasang matanya menangkap parut kecil di rahang kanan lelaki itu. Tidak berapa jelas kelihatan tapi ianya ada di situ. Qistina tidak pernah bertanya tentangnya. Dia rasakan tidak perlu kerana dia tahu dari mana ia datang. Kerana dia berada di situ ketika pergaduhan itu berlaku. Kejadian lalu yang masih tak luput dari ingatannya.
"Macam mana awak tahu?" Qistina bertanya dengan berhati-hati. Dia tiba-tiba rasa ingin tahu.
Raffa membalas pandangannya. "Tahu apa?"
"Yang saya suka mawar?" Mata gadis itu mengecil.
"Bukan susah sangat, Qis. Aku boleh agak..." Raffa bergerak lebih dekat, membisikkan sesuatu ke telinga Qistina.
"Dari cara kau memandangnya."
Qistina terpegun. Nada suaranya sengaja menggoda. Ia bukan nada mengejek. Ia kedengaran sedikit berbeza daripada sebelumnya. Perlahan-lahan, dia mendongak dan memandang wajah lelaki itu. Raffa masih merenungnya dengan ekspresi yang sukar dibaca.
Ia hanya bertahan sesaat sebelum Qistina mengalihkan pandangannya.
"Lain kali, hati-hati bila berjalan." Itu sahaja ucapan yang terbit dari bibir Raffa.
Tiada permohonan maaf, nada tajam dan sebarang tuntutan. Kata-kata itu perlahan dan datar, kemudian Raffa berlalu pergi.
Qistina terus memerhati Raffa yang berjalan dengan langkah mantap melepasinya, mawar-mawar dan halaman itu. Begitu juga para pelajar lainnya yang tiba-tiba saja tahu cara bagaimana nak berjalan dan meninggalkan pekarangan itu.
Perlahan-lahan, koridor itu kembali hidup.
Qistina masih lagi tercegat di situ. Dia masih terbayangkan ucapan Raffa tadi. Ia bukan ancaman.
Tapi sesuatu yang lain sama sekali, sesuatu yang tidak dapat dia namakan. Sesuatu yang membuatkan jantungnya berdegup kencang dan kulitnya terasa sejuk. Dia benci perasaan itu.
Dia benci lelaki itu.
Qistina telah menghabiskan dua tahun membenci Raffa. Tanpa sebab munasabah. Kerana hanya Raffa sahaja yang berjaya mengusir ketenangan di hatinya. Dia resah setiap kali melihat renungan yang begitu menusuk itu.
Namun, dia ingin bertanya sesuatu kepada lelaki itu. Apa yang berlaku malam itu? Apa sebenarnya yang berlaku pada semester pertama itu? Apa yang berlaku dua tahun lalu?
Ya, sudah dua tahun... sejak ia berlaku. Qistina tidak dapat melupakannya sehingga sekarang. Mungkin, selamanya. Untuk seluruh hidupnya.
Tidak pernah dan tidak akan.
Qistina menutup matanya.
Dan memori itu datang juga.
***
Sokongan anda membantu saya untuk terus menghasilkan karya seni dan memberi inspirasi kepada saya untuk mencipta lebih banyak kandungan artistik. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan seni ini! Sokong saya di sini:
Terima kasih kerana membaca.
Bab 8 - Obsesi Pewaris Karya Amyra Aimi

Comments