Bab 7 | Obsesi Pewaris Karya Amyra Aimi

Updated: 9 hours ago

Bab 7 - Obsesi Pewaris Karya Amyra Aimi
QISTINA tahu lelaki itu masih memerhatikannya. Mata itu tajam dan tertancap padanya, tanpa mengalihkan pandangannya sedikit pun.
Qistina dapat merasainya. Atmosfera seakan berubah dan memahami situasi yang berlaku, dan koridor itu kekal sunyi untuk tempoh yang agak lama. Tiada sesiapapun di sekeliling mereka bergerak. Dia tahu ini adalah kesilapan yang sepatutnya dia elakkan.
Raffa tidak mengeluarkan sepatah kata pun.
Dia hanya berdiri di situ, dan Qistina dapat merasakan sepasang mata tajam lelaki itu padanya seperti tangan di belakang tengkuknya.
Dia tidak mendongak.
Kerana mendongak bermakna memandang Raffa, dan memandang lelaki itu bermaksud mengingati seraut wajah tampan itu.
Dia menundukkan kepalanya.
Jantungnya berdegup kencang. Terlalu kuat. Terlalu laju. Dia dapat mendengarnya di telinganya sendiri, dan dia benar-benar pasti lelaki itu juga dapat mendengarnya.
Raffa berdiri terlalu dekat.
Begitu dekat sehingga Qistina dapat merasakan bahang tubuh lelaki itu. Sehingga jika dia mendongak sedikit sahaja, dahinya akan menyentuh dada lelaki itu. Lebih dekat daripada sesiapa yang pernah berdiri di sisinya, membuatkan jantungnya berdegup lebih laju.
Tanpa mampu mengawalnya, perbuatannya, air mukanya dan... Qistina bimbang Raffa akan perasan dia sebenarnya sedang berusaha menenangkan rasa gementarnya. Tangannya yang sedikit bergetar. Tubuhnya yang kaku.
Qistina tidak mahu Raffa melihatnya seperti ini. Kerana ia terlalu berbahaya. Jari-jemarinya itu menggenggam erat buku nota dan tugasannya.
Apa yang dia akan buat?
Dia akan marah ke?
Atau lebih teruk, pukul aku?
Hanya kerana aku terlanggar dia?
Bibirnya bergerak tanpa suara, membentuk perkataan yang tidak pernah keluar. Dia telah menghabiskan dua tahun mengelak saat ini.
Dan sekarang ia telah tiba.
Raffa memandang gadis itu tanpa rasa jengkel atau marah, hanya sedikit terkesan. Seperti cara kau memandang sesuatu yang terbabas ke laluan kau secara tidak disengajakan.
"Mata kau tu letak kat mana? Dalam poket? Kau tak nampak aku tengah berjalan?"
Mukanya tenang. Tapi nada suaranya itu tidak melunak walau sedikit pun.
Qistina diam membisu.
Ia adalah suara yang sama yang pernah Qistina dengar ratusan kali dalam ratusan kuliah. Perlahan. Terkawal. Tetapi ada sesuatu yang lebih tajam dan lebih sejuk di dalam nada itu, membuatkan koridor itu terasa sepuluh darjah lebih sejuk.
Raffa mendekat.
Wajah Qistina bertukar pucat. "Saya dah minta maaf, kan. Saya tak sengaja." Dia menjawab balik, buat-buat berani.
Dia cuba membalas renungan tajam itu. Dia tidak bertahan lama. Atau mungkin dia hanya berpura-pura berani.
Dia tidak takut dengan Raffa Fathurrahman.
Dia takut dengan apa yang mungkin dia bakal lakukan kepada lelaki itu. Jika Raffa tahu dia sedang memburu seseorang... siapa tahu apa yang lelaki itu akan fikirkan. Raffa tidak sedar dia bukan seperti gadis lain. Dia boleh bertindak di luar jangkaan... pada bila-bila masa.
Dia tidak takut dengan lelaki itu. Dia takut diperhatikan. Dan orang paling berbahaya di kampus ini tengah menghalang misinya.
"Maaf? Hanya... maaf. Itu aje?"
Bibir Raffa melengkung menjadi senyuman miring.
Dia melangkah lebih dekat.
Semakin Raffa dekat, semakin jauh Qistina berundur. Seperti lelaki itu sengaja melakukannya.
Dia terpaksa mendongak hanya untuk memandang Raffa.
"Awak buat apa? Hei, berundur!"
"Kenapa? Takut?"
Raffa mengangkat satu kening dan menyandarkan badan lebih dekat, merendahkan suaranya untuk berbisik di telinga gadis itu. Tawa kecil kedengaran. Rapat di deria pendengaran Qistina. Berpadu dengan hembusan nafas lelaki itu yang hangat.
Deg.
Buat pertama kalinya dalam dua tahun, mereka berdiri begitu dekat, mata bertentang mata.
Bau perfume Raffa memenuhi deria. Sesuatu yang gelap dan mahal. Menggambarkan inilah diri Raffa.
Dan entah kenapa, jantungnya tidak berhenti berdegup kencang.
Qistina meneliti senyuman itu, tidak pasti apa maksudnya.
Dia sebenarnya nak apa? Dia berbisik kepada dirinya sendiri.
Qistina menelan rasa pahit di tekaknya.
"Ya," dia menjawab.
"Saya memang takut dengan awak."
Air muka Raffa berubah sedikit. Warna matanya menjadi lebih gelap. Seolah-olah dia tidak menjangkakan perkataan itu akan keluar dari mulut gadis di depannya.
Qistina menyumpah mulutnya kerana bercakap dengan cuai di depan lelaki ini.
Sudut bibir Raffa melengkung sedikit. Dia terus merenung tajam wajah Qistina. "Baguslah. Kau patut takut pun."
Entah kenapa, Qistina merasakan senyuman itu agak menawan. Pada masa yang sama... berbahaya dan semakin menakutkan.
***
Sokongan anda membantu saya untuk terus menghasilkan karya seni dan memberi inspirasi kepada saya untuk mencipta lebih banyak kandungan artistik. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan seni ini! Sokong saya di sini:
Terima kasih kerana membaca.
Bab 7 - Obsesi Pewaris Karya Amyra Aimi

Comments