Bab 6 | Obsesi Pewaris Karya Amyra Aimi

Updated: 3 hours ago

Bab 6 - Obsesi Pewaris Karya Amyra Aimi
QISTINA melangkah turun dari bas tepat pukul 7:50.
Dataran utama terbentang di hadapannya dengan laluan batu yang panjang, pokok renek yang dipangkas rapi dan air pancut yang telah mengalir sejak sebelum dia dilahirkan.
Para pelajar bergerak dalam kumpulan, kepala menunduk dan bersuara perlahan. Pensyarah berjalan berpasangan. Staf muncul dan menghilang seperti mereka adalah sebahagian daripada hasil seni bina itu.
Tiada siapa ketawa kuat di sini ataupun berlari. Apatah lagi melakukan apa-apa yang mungkin menarik perhatian.
Kerana setiap orang di kampus ini tahu perkara yang sama tanpa perlu menyebutnya dengan lantang. Dengan aturan yang sama.
Kau tidak dibenarkan membuat bising di sini.
Kau tidak seharusnya menonjolkan diri.
Kau tidak memerhati sesuatu dengan terlalu dekat.
Qistina berjalan agak jauh ke kuliah pertamanya. Melepasi perpustakaan dan Fakulti Seni. Juga sebuah halaman yang menjadi tempat bunga mawar tumbuh mekar, segar dan subur.
Qistina sentiasa berjalan jauh. Bukan kerana dia mengelak sesuatu. Kerana dia mahu terus memerhati di setiap sudut kampus ini. Dan menghafalnya dalam fikiran. Dia perasan pelbagai perkara.
Lelaki sama dalam sut yang sama, berdiri di sudut dataran yang sama, setiap pagi Isnin dan Khamis. Dia bukan staf ataupun pensyarah. Dia hanya ada di situ.
Kereta hitam yang sama diparkir di sepanjang tempat letak kereta staf pada petang Selasa. Tiada plat nombor atau seorang pemandu pun kelihatan. Tiada siapa pernah masuk atau keluar.
Gadis yang sama, tinggi, berambut perang, lebih tua darinya, yang muncul di kafetaria pada Jumaat tertentu, sentiasa bersendirian dan memerhati, tapi tidak pernah makan.
Profesor yang sama, sentiasa membawa beg bimbitnya di sebelah kiri, bukannya di sebelah kanan, seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan di bawah kotnya.
Qistina tidak akan mencatat sebarang nota di kampus.
Qistina menunggu sehingga dia sampai ke rumah, sehingga kampus itu jauh di belakangnya dan pulau itu semakin lesap dari pandangan melalui cermin pandang belakang. Sehingga melepasi laluan jambatan yang dikawal ketat itu. Barulah dia menulisnya.
Buku nota itu kecil. Hitam. Lusuh di hujung bucunya. Ia tersimpan di dalam lapisan begnya, dijahit di belakang fabrik supaya tiada siapa akan menjumpainya jika ada sesiapa pun yang mencarinya.
Qistina telah memulakan tulisannya sejak dua tahun lalu. Dan sehinggalah kini. Dia akan terus menulisnya setiap kali dia melihat sesuatu yang mencurigakan berlaku di sini. Atau di kelab itu. Atau di mana-mana tempat suspek utama itu berada.
Sehingga dia menemui apa yang dia cari.
I must keep searching, fikirnya sambil berjalan.
Aku harus terus mencari.
Aku akan berdepan dengan pewaris itu.
Dia pasti ada di sini. Di suatu tempat.
Di antara semua wajah ini.
Dia pasti berada di antara para pelajar ini.
Qistina membelok ke arah dewan kuliah. Dan pada saat itulah ia berlaku.
Buk!
Dia terlanggar sesuatu yang pejal.
Keras.
Buku notanya terpelanting dari tangannya. Begnya tergelincir dari bahunya. Pennya bergolek di atas lantai marmar.
Qistina terhuyung ke belakang, nafasnya tersekat. Benda yang dia langgar itu bukan dinding. Tapi seorang manusia. Seorang lelaki. Tinggi dan tegap. Berbahu lebar. Berpenampilan hitam.
Qistina mendongak. Dan menjadi kaku.
Raffa Fathurrahman sedang merenungnya.
Bukan memandang. Tapi merenung. Sepasang mata gelap, tanpa berkelip dengan rahangnya yang tegang. Jenis renungan yang tidak mungkin akan berhenti di wajah seseorang. Tetapi yang boleh menembusi wajah orang itu.
Di sekeliling mereka, koridor itu menjadi sunyi.
Bukan perlahan-lahan ataupun beransur-ansur. Serta-merta. Cara sebuah bilik yang bertukar menjadi sunyi apabila si pemangsa masuk.
Setiap pelajar dalam jarak dua puluh kaki segera berhenti melangkah. Setiap perbualan dalam jarak tiga puluh kaki telah berhenti di tengah-tengah ayat mereka.
Qistina dapat mendengar degupan jantungnya sendiri. Dia dapat mendengar pen itu masih bergolek di atas marmar.
Dan dia dapat merasakan semua orang memerhatikannya.
"M-maaf," ucapnya.
Suaranya keluar nipis. Sepasang matanya itu tepat pada lantai. Pada pen. Pada apa sahaja kecuali lelaki itu.
Qistina terlalu jauh berangan dengan suasana kampus, mawar-mawar, pintu gerbang dan buku nota di dalam begnya. Sehingga dia tak sengaja melanggar satu-satunya orang yang dia cuba elak selama dua tahun. Bodoh. Hatinya itu mengutuk. Ditujukan kepada dirinya sendiri.
Raffa tidak bergerak ataupun bersuara, hanya memerhatikan gadis itu yang sedikit menggelabah.
Perlahan. Tetap. Seperti dia sedang memutuskan sesuatu.
Qistina membongkok ke bawah dan mengambil pennya. Kemudian buku notanya. Dia tidak memandang Raffa lagi. Dia tidak mahu tahu bagaimana reaksi Raffa.
Dia seperti sudah boleh mengagak apa yang bakal berlaku selepas ini.
***
Sokongan anda membantu saya untuk terus menghasilkan karya seni dan memberi inspirasi kepada saya untuk mencipta lebih banyak kandungan artistik. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan seni ini! Sokong saya di sini:
Terima kasih kerana membaca.
Bab 6 - Obsesi Pewaris Karya Amyra Aimi

Comments