top of page
 COMIC PROMO-3.jpg

Bab 4 | Obsesi Pewaris Karya Amyra Aimi

Writer: Aimi Hikaru
Aimi Hikaru
5 days ago
6 min read

Updated: 1 day ago

Dark book cover with a close-up of a man’s intense eye and rings; title Obsesi Pewaris by Amyra Aimi in white text.

Bab 4 - Obsesi Pewaris Karya Amyra Aimi


QISTINA baru separuh jalan menuju ke keretanya apabila dia mendengar bunyi derap langkah kaki di belakangnya. Perlahan. Tidak tergesa-gesa.


Bukan malam ini. Tolong, bukan malam ini. Hatinya itu berbisik.


Qistina menghentikan langkahnya, tanpa terus berpaling. Dia tahu seseorang sedang mengekorinya. Seseorang yang telah memerhatikannya sepanjang malam. Dia terlalu letih malam ini. Benar-benar letih.


Dia bukan sekadar cuba menumpukan perhatian pada pelajarannya, dia juga perlu meneruskan misinya memburu siapa pun pewaris tunggal itu. Sejak semester pertama, Qistina tidak pernah mengenal erti lelah. Kelelahan mencari orang itu.


Dalam masa yang sama dia tetap bersemangat. 


Qistina merasakan seolah-olah dia sentiasa mengejar bayang-bayang lelaki itu. Atau... mungkinkah sebenarnya dia yang sedang dikejar oleh bayang-bayang gelap itu?


Qistina menarik nafas sebelum menghembusnya perlahan. Akhirnya dia bersuara.


"Awak nak apa?" tanyanya tanpa berpaling.


Dengan perlahan-lahan dan berhati-hati, dia menyeluk tangannya ke dalam poket kotnya. Jari-jemarinya itu menggenggam erat tabung kecil pepper spray yang dia beli sejak beberapa tahun yang lalu dan belum pernah digunakan.


"Rupanya kat sini kau menghilang ya, Qis."


Dia membeku.


Suara itu.


Qistina cukup kenal suara itu. Dan dia membenci suara itu.


Dia berpaling.


Raffa Fathurrahman berdiri sepuluh kaki dari situ dengan kedua-dua tangannya di dalam poket. Jaket gelapnya itu terbuka. Rambut hitam lebatnya itu kelihatan agak berserabut bersama beberapa helaian anak rambut yang berjuntai di dahi. Raut wajahnya itu sukar dibaca di dalam kepekatan malam yang hanya diterangi remang cahaya lampu jalan.


Raffa benar-benar ingin tahu.


"Awak buat apa kat sini?" tanya Qistina, suaranya datar dan tenang. Dia sentiasa memastikan itu.


Qistina sentiasa begini. Dia memastikan dia tidak pernah menunjukkan rasa takut atau gentar kepada sesiapa pun. Terutamanya kepada lelaki. Dia melihat segaris senyuman terukir di bibir Raffa. Lelaki yang selalu membuatnya bergetar tanpa sebab. Dia benar-benar benci perasaan ini! Kenapa hanya dengan Raffa dia rasa begini?


Tidak, dia bukan takut dengan Raffa dalam erti kata sebenar. Dia gentar kerana aura lelaki itu. Lelaki itu sering mengekorinya, memerhati setiap gerak-gerinya di kampus. Di dewan kuliah. Di kafetaria. Di perpustakaan. Selalunya... di perpustakaan, kerana di situlah dia selalu mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan tugasan bersama Mimi. Kadang-kala dia bersendirian.


Qistina tahu lelaki itu sengaja mengekorinya. Cuba mendekatinya. Setiap kali itulah dia berusaha mengelak.


Dan Raffa, tanpa lelaki itu sedar, telah beberapa kali tertangkap dari ekor mata Qistina ketika sedang memerhatinya. Tanpa sebab. Tanpa alasan munasabah.


Cuma nampaknya malam ini, Raffa bertindak jauh lebih berani. Jauh lebih drastik.


Raffa memiringkan kepalanya. "Aku pun boleh tanya soalan yang sama."


"Tak nampak? Saya kerja kat sini."


"Kau menyanyi di sini."


Qistina pandang tak berkelip. "Sama aje."


"Tak." Raffa kian mendekat dengan satu langkah ke depan. "Tak sama, Qis."


Genggaman Qistina pada pepper spray semakin erat.


"Awak nak apa, Raffa?"


"Aku nak tahu kenapa seorang pelajar biasiswa yang dapat Senarai Dekan setiap sem boleh habiskan malam Jumaatnya dengan menyanyi di kelab macam ni." Ucap Raffa dengan satu nafas.


Jantungnya berdegup kencang.


Bermakna dia tahu kelab ini dan siapa pemiliknya.


"Saya perlu cari makan." Qistina berkata tenang.


"Ya." Raffa melangkah lagi. "Tapi perempuan yang perlu cari makan bekerja di kafe. Kedai buku. Pusat tuisyen."


Satu langkah lagi.


"Bukan di The Vault."


Raffa kini cukup hampir. Terlalu dekat. Renungannya itu tajam.


Degupan jantung Qistina berganda. Tapi dia tak berundur, walaupun Raffa semakin dekat.


"Jadi aku tanya sekali lagi, Qis." Suaranya menurun. "Apa sebenarnya yang kau buat kat sini?"


Qistina memandangnya.


Untuk seketika, dia terasa macam nak berbohong. Hanya untuk satu saat.


Tapi ada sesuatu di wajah lelaki itu. Sesuatu yang seakan benar-benar berharap. Yang mengatakan dia sudah tahu jawapannya dan hanya menunggu gadis itu mengakuinya.


Qistina tak boleh berbohong kepada Raffa. Bukan malam ini.


"Saya tengah cari seseorang."


Raffa menanti.


"Siapa?"


Senyap.


"Qis."


Qistina diam membisu.


"Kau ada dalam dunia aku sekarang." Raffa bersuara perlahan. "Apa pun yang kau buat, siapa pun yang kau cari, aku boleh tolong kau."


"Saya tak perlukan bantuan awak."


"Aku tahu." Raffa melangkah lebih dekat lagi. "Tapi kau nak, kan."


Qistina tak menjawab.


Kerana itu benar.


Raffa memandang gadis itu cukup lama. Kemudian, perlahan-lahan, dia tersenyum. Bukan senyuman sinis atau angkuh. Sesuatu yang lebih teruk. 


"Kau tak macam yang aku fikirkan."


"Awak pun sama." Balas Qistina.


Raffa tertawa kecil lalu, menggeleng perlahan. "Tak." Dia merenung tepat ke sepasang mata bundar milik Qistina. "Aku rasa tak."


Raffa berundur.


"Aku rasa lebih baik kau balik, Qis. Dah lewat malam. Jumpa esok."


Dia berpaling dan berlalu pergi.



RAFFA tak terus balik. Dia berjalan masuk semula ke dalam kelab itu melalui pintu masuk sisi. Melepasi bar dan meja sudut. Kembali ke boothnya.


Zack, Eddie, dan Farid masih di situ. Mereka menunggu dengan setia, menunggu untuk melihat apa langkah seterusnya. Menunggu arahan daripada Raffa sebagai ketua krew mereka. Wajah Raffa kelihatan normal dan bersahaja. Tiada sebarang tekanan atau sebaliknya.


"Jadi?" Zack bertanya.


Raffa tak menjawab.


Raffa melihat skrin iPhonenya. Tiga mesej. Semuanya daripada ayahnya.


Dia membacanya. Satu. Dua. Tiga kali. Dia tak membalas. Hanya memandang kamera di sudut bilik itu. Yang ditujukan ke arahnya. Dia langsung tak tersenyum apatah lagi melambai. Hanya memerhatinya, seolah-olah dia tahu kamera itu juga memerhatinya.


Kemudian dia berdiri. "Jom blah."


Zack tak bertanya apa-apa langsung. Begitu juga Farid dan Eddie.


Mereka berjalan keluar. Pengawal pintu mengangguk kepada mereka sebaik mereka lalu, seperti biasa, kemudian mengunci pintu di belakang mereka.



KERETA hitam itu berhenti di tepi jalan. Maxim tak keluar. Dia duduk di tempat duduk penumpang dan memerhati pintu kelab tersebut.


Dia telah memerhati Qistina keluar dua puluh minit lalu. Sama seperti dia memerhati Raffa dan krewnya keluar sepuluh minit selepas itu. Lima minit kemudian, dia melihat seorang gadis dalam gaun pendek keluar, berjalan laju dan berpusing ke belakang dengan muka pucat lesi.


Ini telah menjadi tabiatnya. Satu tabiat. Dan tak pernah sekali pun satu maklumat terlepas dari matanya yang tajam. Dia membuat catatan di telefonnya. Masa. Penerangan. Arah.


Dia tak tahu mengapa dia menyimpan catatan itu. Dia hanya melakukannya. Dan dia tahu semua ini penting.


Pintu kereta terbuka. Seorang pemandu masuk. "Bos nak laporan."


Maxim tak terus menjawab. Dia masih memerhati pintu kelab itu.


"Beritahu dia malam ni sunyi. Takde apa pun."


"Ya ke?"


Maxim memandang pintu itu sekali lagi. "Ya."


Pemandu itu angguk sekali dan memandu pergi.


Maxim duduk di situ dalam gelap, tangannya berada di riba, sepasang matanya terarah ke jalan, dan memikirkan gadis itu. Bukan pertama kali. Bukan kali terakhir. Seperti biasa. Perlahan dan berhati-hati, seperti seorang lelaki memikirkan sesuatu yang telah lama dilindunginya.



KERETA lama itu diparkir tiga blok dari kelab.


Qistina meluru masuk ke tempat duduk pemandu dan menutup pintu. Dia segera mengunci pintu.


Tangannya bergetar. Dia membiarkannya. Hanya di sini. Di dalam gelap. Hanya untuk beberapa saat dan ketika dia benar-benar bersendirian. Barulah dia melepaskan segalanya. Keletihannya. Ketakutannya. Oh, Tuhan... apa yang aku lakukan ini? Betul ke tindakan aku ini? Bekerja sambilan di tempat sebegini?


Apa yang Raffa katakan itu benar. Dia mengakuinya. Gadis seperti dia sepatutnya bekerja di kafe, kedai buku, atau di mana-mana tempat yang normal dan biasa. Normal... sudah tidak ada dalam kamus hidup seorang gadis bernama Qistina.


Qistina ketawa kecil, kosong, matanya tertancap ke depan pada jalan yang gelap dan sunyi.


Sejak dia mendengar nama itu disebut oleh mendiang jirannya bertahun-tahun lalu, sebelum dia berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, Qistina sudah lama membuang perkataan normal. Dia juga sedar akan sesuatu yang lain. Tiada yang normal di sini. Dunia ini asing. Berbeza. Sangat berbeza dengan suasana tempat asalnya. Kampungnya.


Kemudian dia menekankan dahinya pada stereng kereta, kereta lama yang merupakan milik ibu angkatnya, yang dia sambung bayar dengan setiap gajinya, dan menghembus nafas yang sejak tadi ditahan.


Dia membisikkan nama itu. Nama yang telah dia kejar bertahun-tahun. Nama yang masih belum dapat dia buktikan miliknya.


Malam ini, buat pertama kalinya, dia merasakan seolah-olah seseorang sedang memburunya.


Matanya menangkap bayangan lelaki tinggi dan berbahu lebar itu. Ya, dia masih di situ. Masih memerhati keretanya dari jauh. Memastikan dia segera beredar. Seolah-olah itulah yang dimaksudkan oleh pandangan tajam dan penuh makna itu.


Qistina duduk dalam kesejukan, jantungnya berdegup kencang, nafasnya tidak teratur sambil memerhati lelaki itu menghilang ke dalam kegelapan.


Buat pertama kalinya dalam dua tahun, dia tidak pasti siapakah antara mereka yang memburu.


Dan siapakah yang menjadi mangsa.


***


Sokongan anda membantu saya untuk terus menghasilkan karya seni dan memberi inspirasi kepada saya untuk mencipta lebih banyak kandungan artistik. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan seni ini! Sokong saya di sini:



Terima kasih kerana membaca.


Bab 4 - Obsesi Pewaris Karya Amyra Aimi

Comments


bottom of page